Selepas diumumkan tersingkir pada konsert minggu keenam, ‘kepulangan’ pengacara Gegar Vaganza 2 (GV2), Nabil dan Jihan pada malam tadi (Ahad) telah disambut meriah.

Sebaik sahaja pengacara dan penyampai radio Sinar Pagi, Raja Azura (Kak Engku) dan Salih Yaacob mengumumkan untuk menyerahkan kembali GV2 kepada Nabil dan Jihan, penonton di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyambutnya dengan sorakan dan tepukan gemuruh.

Kak Engku dan Salih telah memulakan konsert GV2 dengan menyanyikan lagu Yang Tersayang yang dipopularkan oleh Iwan dan Amelina.

Selain itu mereka turut mengumumkan perkhidmatan mereka di Sinar FM dan Sinar Pagi bakal berakhir pada 27 November ini.

Suasana kembali gamat apabila Nabil dan Jihan muncul menyanyikan lagu Horee! Horee! sebagai tanda tugasan mereka kembali bermula.

Selain itu, Astro Gempak ingin kongsikan kepada anda beberapa perkara menarik berlaku di konsert minggu keenam GV2 yang tidak dapat ditonton oleh penonton di rumah:

1) Ketika iklan, Jihan telah bertanya kepada juri GV2, Datuk Ramli MS apa gelaran yang patut dipanggil kepada suami penyanyi Alyah itu memandangkan hubungan mereka kini ialah pakcik dan anak saudara. Nabil menyuruh Jihan memanggil Ramli dengan nama ‘Cik Ram’.

2) Datuk Seri Vida ketawa besar apabila dia hampir tergelincir ketika mahu menyerahkan hadiah ‘Paing Menyengat’ kepada isteri Ezad Lazim.

3) Kehadiran bekas kekasih pelakon Zul Ariffin, Gayatri Suu Lin Pillai bersama ibu pelakon tersebut mencuri perhatian wartawan, namun usaha untuk menemubual penerbit filem itu gagal kerana Gayatri pulang sebaik sahaja program tamat.

4) Seperti biasa, tempat duduk di auditorium MBSA penuh dan kali ini melibatkan petugas ‘live update’ Astro Gempak yang kehilangan kerusinya yang telah ‘diambil’ penonton lain.

5) Penonton di tingkat atas auditorium sempat menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Datuk Salwa Abdul Rahman.

6) Peserta GV2, Haiza, Siti Nordiana dan Acong menangis apabila Nizam Laksamana diumumkan tersingkir.

7) Ketika sesi temuramah, Nizam memberitahu dia tersentuh melihat kehadiran ibunya di kerusi penonton GV2. Menurut Nizam ini pertama kali ibunya hadir melihat dia sebagai seorang ‘penyanyi’ selepas 24 tahun menyanyi.

8) Ibu Nizam menangis ketika anaknya disingkirkan.

9) Kehadiran penonton memakai crown ala Datuk Vida mencuri perhatian.

10) Ketika iklan, Nabil mengugut tidak mahu membayar bil Astro kerana mahu menyingkirkan dia dan Jihan sebagai hos GV2.

11) Nabil telah mengusik Jihan sebelum menjemput Datuk Seri Vida naik ke pentas sehingga menyebabkan pengacara itu menjerit memarahinya. Gelagat mereka telah mengundang tawa penonton.

12) Nabil berkali-kali bertanya kepada Jihan: “Bila kau nak kahwin, umur kau dah 32 tahun!”. Jawapan Jihan ialah: “Kau jangan kacau aku boleh tak?”. Sekali lagi auditorium MBSA ‘pecah’ dengan gelak tawa penonton.

Gegar Vaganza 2 bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123)pada setiap hari Ahad pukul 9 malam.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin

@jihanmuse dan @ziranabil kekal sebagai pengacara untuk #GegarVaganza ! Terbaik la mereka berdua kan? #BintangKembaliMenyengat

A video posted by Astro Gempak (@astrogempak) on