Chacha Maembong telah diumumkan sebagai juara dalam episod ke-5 program realiti digital The House, pada Rabu lalu selepas berjaya mencipta Menara Straw yang turut berfungsi sebagai topi.

Kejayaan tersebut memberi peluang kepada Chacha untuk menerima layanan paling istimewa daripada kedua-dua kakaknya iaitu Yaya dan Emma.

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh Chacha yang tidak pernah memenangi mana-mana tugasan dalam The House sebelum ini.

Chacha berlagak seperti tuan puteri, sementara Emma dan Yaya bertindak sebagai dayang istana yang terpaksa memenuhi semua permintaan dan kehendaknya.

Sebaik sahaja diberi kuasa sebagai puteri, Chacha dengan segera memerintah Emma untuk menyediakan buah-buahan, sementara Yaya dipaksa melakukan 'manicure’ untuk kuku tangannya.


*Adik-beradik Maembong yang sentiasa sepakat dalam apa jua perkara*

Tidak tahan dibuli, Yaya dan Emma akhirnya bersepakat untuk mengenakan Chacha dengan mengurut serta meramas kuat ubun kepala adik bongsu mereka itu sambil menyumbat buah-buahan ke dalam mulutnya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga beradik tersebut mengakui telah melalui hari yang menyeronokkan kerana secara tidak langsung, aktiviti tersebut mengembalikan semula bibit kemesraan serta merapatkan lagi hubungan persaudaraan mereka.

Dalam episod kelima itu juga telah menampilkan kakak sulung dalam keluarga Maembong iaitu Coddy dan adiknya Ahmad datang ke rumah Emma, Yaya dan Chacha ketika mereka sedang asyik bergelak-ketawa.

Kedatangan Coddy dan Ahmad menyebabkan Emma, Yaya dan Chacha panik kerana tahu sikap cerewet kakak sulung mereka itu yang tidak suka melihat rumah dalam keadaan kotor dan berselerak.

Andaian mereka tepat kerana sebaik sahaja Coddy melangkah masuk ke dalam rumah bersama Ahmad, dia terkejut melihat kediaman adik-adiknya yang huru-hara.

Yaya mengadu kepada Coddy tentang Emma dan Chacha yang tidak pernah membantunya untuk menjaga kebersihan rumah tersebut.

Namun sebagai kakak, Coddy telah menasihati ketiga-tiga adik perempuannya itu untuk bekerjasama menjaga kebersihan rumah.

Permainan dart telah dijadikan alternatif untuk membahagikan kerja rumah, namun telah menimbulkan rasa tidak puas hati Emma.


*Emma, Ahmad dan Chacha Maembong, ke mana sahaja pasti bersama*

Coddy bertindak meleraikan masalah yang timbul di antara adik-adiknya.

Sebaik saja tugasan mengemas rumah selesai, Chacha, Yaya dan Emma memanjakan diri menikmati minum petang di Hotel Pullman Resort, Putrajaya.

Apa pula yang akan berlaku dalam The House episod ke-6 akan datang? Jangan lupa saksikan The House, rancangan yang disokong Kotex di www.TheHouse.com.my pada Rabu, jam 4 petang.