Peserta favourite Pencetus Ummah 2015, PU Amin redha dengan keputusan yang diraihnya pada Mimbar Akhir Pencetus Ummah 2015 yang berlangsung malam tadi.

Kejutan berlaku apabila PU Amin yang dijangka menjadi juara musim ini, sekadar menduduki tempat keempat.

Ketika ditemui PU Amin berkata, dia redha dan menerima keputusan tersebut serta mengakui persembahannya pada mimbar akhir yang berlangsung pada malam Khamis, adalah yang paling teruk.

"Jika sebelum ini ramai yang menyatakan graf persembahan saya semakin menaik, namun malam ini banyak perkara yang tak kena dalam persembahan saya.

“Namun saya menganggap ini sebagai takdir dan ketentuan dari Allah S.W.T kerana jika nak diikutkan, saya sendiri tak jangka akan melangkah ke final," katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai punca kegagalannya, PU Amin berkata, salah satunya darinya adalah kesilapan ketika menjawab soalan ketika tazkirah.

“Selepas menjawab soalan dari penonton itu, saya dah tahu akan dapat tempat keempat kerana markah untuk soalan adalah sangat tinggi.

"Entah macam mana mulut saya laju sahaja memberi jawapan "tanyalah pada kadi", sedangkan ia boleh dihuraikan dengan lebih lanjut.

“Saya kesal kerana gagal beraksi dengan baik di pentas akhir ini. Bagaimanapun, terima kasih kepada para peminat yang datang menyokong saya malam ini.

"Saya kecewa juga kerana telah menghampakan mereka semua,” ujarnya.

PU Amin sebelum ini telah membuatkan air mata ramai penonton mengalir apabila bapanya yang cacat penglihatan hadir bertanyakan soalah di Mimbar Pencetus Ummah.