Vokalis kumpulan May, Mus mengumumkan bahawa dia kini sudah menarik diri daripada kumpulan itu sejak bulan Januari lalu.

Menurut Mus, keputusan untuk menarik diri itu dilakukan selepas dia mengalami masalah kesihatan.

"Keputusan untuk mengundur diri ini diambil disebabkan saya mempunyai masalah kesihatan yang kurang mengizinkan.

"Saya tiada krisis yang besar dengan mereka, cuma mungkin silap saya, selepas menjayakan Konsert Metal Return 1.0 Live XPDC May di Ipoh pada Disember 2018, saya terus mendiamkan diri.

"Keputusan drastik ini dilakukan oleh saya dalam diam dan saya sudah menjelaskan perkara sebenar kepada dua anggota kumpulan May iaitu Man serta Abu dan mereka menghormati keputusan yang dilakukan oleh saya.

"Sebelum ini, saya banyak menerima tawaran menyanyi secara solo jadi ia tidak adil jika saya terus membawa nama May, sedangkan tawaran persembahan secara berkumpulan semakin berkurangan," katanya kepada Gempak.

Mus berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Rockestra Lagenda di KL Tourism Bureau, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Konsert Rockestra Lagenda akan berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur pada 13 Julai ini secara percuma pada pukul 8.45 malam.

Konsert ini bakal menampilkan Datuk Nash, Datuk Hattan, Bandi Amuk, Candy, Yantzen, Hatta, Nik, Karl dan Ajin.

Sebelum ini, Mus bersama May sejak tahun 1986 dan meninggalkan kumpulan itu selepas lima tahun untuk menyertai kumpulan Strangers.

Mus juga pernah menyertai kumpulan Wings sehingga 2000 dan kembali menyertai kumpulan May pada 2002.