Tiada angin tiada ribut tiba-tiba timbul dakwaan pelakon Remy Ishak dikatakan sedang menjalinkan hubungan rapat dengan seorang wanita bergelar model.

Menjelaskan perkara terbabit, kata pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu, dia mengakui telah mengenali wanita berkenaan sejak lima tahun lalu sebelum bertunang.

Malah, tambah Remy statusnya yang kini solo tidak menghalangnya untuk berkawan atau mengenali mana-mana individu di sekeliling.

"Itu kawan lama saya yang saya kenal sebelum saya mengenali bekas tunang saya lagi. Hubungan kami pun sekadar kawan.

"Mungkin kisah ini tiba-tiba timbul bila ada peminat yang terlalu mahukan saya dan Mira Filzah bersama seperti lakonan kami dalam drama.

"Jadi mereka tidak senang apabila ada individu lain yang rapat dengan saya selain Mira.

"Tak bolehlah begitu sebab saya manusia biasa dan saya berhak kenal dengan sesiapa sahaja," katanya kepada Gempak.

Remy yang ditemui pada majlis rumah terbuka Origina di A-Park, Puchong baru-baru ini turut terkilan apabila rakan wanitanya itu termasuk Mira Filzah dituduh menjadi punca perpisahannya dengan bekas tunang, Ezza Yusof.

"Tak elok lemparkan tuduhan macam-macam pada kawan saya.

"Saya sebenarnya kasihankan mereka sebab pelbagai perkara tak manis timbul padahal ia tidak membabitkan sesiapa pun.

"Punca saya dan bekas tunang putus sebab keputusan kami sendiri.

"Jadi, saya harap hentikan spekulasi ini sebab ia akan mengundang fitnah dan kesannya tidak baik untuk semua pihak," tegas Remy lagi.

Dalam perkembangan lain, Remy bakal muncul dalam filem aksi Sangkar dan drama bersiri Ombak Rindu.