Pelakon baru, Shah Hazvee berhasrat untuk melakonkan watak antagonis memandangkan dia masih belum berpeluang melakonkan watak sebegitu sebelum ini.

Menurut Shah, watak antagonis mampu mencabar kebolehan dirinya dalam bidang lakonan.

"Saya sebenarnya bukanlah mahu memilih watak, saya terima sahaja apa-apa watak yang diberi, cuma kalau boleh, saya mahu melakonkan watak antagonis kerana ia mampu mencabar kebolehan saya.

Shah yang mula dikenali menerusi drama bersiri Monalisa ini ditemui di rumah terbuka anjurannya baru-baru ini.

Tambah Shah, dia teruja untuk melakonkan watak antagonis kerana ia bertentangan dengan dirinya yang sebenar.

"Watak antagonis sangat bertentangan dengan diri saya yang sebenar, ia membuatkan saya teruja untuk mencuba watak sebegitu.

"Watak jahat selalunya memerlukan pelakon bermain dengan emosi dan banyak perkara yang boleh saya belajar," katanya kepada Gempak.

Sedikit info mengenai Shah, pelakon berusia 23 tahun ini sudah berkecimpung dalam industri hiburan selama empat tahun dan bakal muncul dalam sebuah filem terbaru tidak lama lagi.