Anakanda keempat Sultan Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail mangkat pada jam 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Tunku Abdul Jalil mangkat pada usia 25 tahun akibat kanser hati.

Menurut Pengerusi Majlis Jumaah DiRaja, Datuk Abdul Rahim Ramli waktu ziarah bermula dari jam 9 pagi sehingga 11.30 pagi Ahad, di Istana Besar Johor.

Sementara penghormatan untuk orang kenamaan pula akan bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, sebelum jenazah disembahyangkan dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah selepas waktu Zohor.

Beliau berkata jenazah Almarhum akan dibawa menggunakan pedati yang akan ditarik oleh Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar terus ke makam tersebut sepanjang tiga kilometer.

Turut mengiringi jenazah ialah Sultan Ibrahim serta anakanda-anakandanya yang lain, kata beliau.

Almarhum akan disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010, atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini

Abdul Rahim turut mengumumkan tiada cuti pada Ahad, tetapi kakitangan kerajaan akan berkabung tiga hari manakala Kerabat DiRaja tujuh hari dan semua majlis berbentuk hiburan di Johor ditangguhkan.

Tunku Abdul Jalil diputerakan pada 5 Julai 1990 dan merupakan Tunku Laksamana Johor.

Disahkan menghidap kanser hati tahap empat dan pernah menjalani rawatan pemindahan hati di China.

Bagaimanapun, penyakit Almarhum dilaporkan kembali menyerang sejak awal tahun ini.

Baginda merupakan adinda kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim Ismail.

Sumber: Astro Awani