Pelawak Ajak Shiro akui baru tersedar Allahyarham Yus Jambu menguji persahabatan mereka dengan wang tunai berjumlah RM5,000 selepas sahabatnya itu meninggal dunia baru-baru ini.

Menurut Ajak, lima hari sebelum Allahyarham Yus Jambu meninggal dunia, pelawak tersebut telah meminjam wang sebanyak RM5,000 darinya.

“Lima hari sebelum meninggal (Selasa), Yus ada menghubungi saya dan memberitahu mahu meminjam wang kerana dia masih belum menerima bayaran untuk sebuah program bersiri.

“Tanpa rasa sangsi saya terus meminta nombor akaun Yus dan memindahkan wang ke dalam akaunnya pada hari Rabu.

“Pada hari Khamis, Yus hubungi saya semula, dia beritahu bayaran untuk program itu sudah diterima dan dia pulangkan semula duit saya berjumlah RM4,500.

“Baki lagi RM500 dia kata mahu pulangkan ketika sesi latihan #JuaraParodi pada Jumaat. Tapi dia pulangkan semua wang saya.

“Selepas Yus meninggal dunia, baru saya dapat tahu yang rupa-rupanya bayaran untuk program tersebut belum lagi diterima olehnya,” kata Ajak.

Masih terkesan dengan kejadian tersebut, Ajak merasakan yang tindakan yang dibuat oleh Yus adalah kerana mahu menguji persahabatan antara mereka berdua.

“Saya sangat terkesan dengan pemergian Yus. Dia bukan sahaja merupakan seorang sahabat, tetapi Yus juga adalah guru saya. Semenjak kebelakangan ini, saya sering mengadakan persembahan dengan Yus secara berdua.

“Jika ada sebarang persembahan yang melibatkan kumpulan Jambu atau Shiro, kadang-kadang Shahrol dan Tauke tidak dapat memberi komitmen.

“Perkara itu terjadi kerana mereka terikat dengan kerjaya sebagai penyampai radio di Era FM. Jadi, saya dan Yus akan bersama menjayakan persembahan,” kata Ajak yang ditemui usai program #JuaraParodi Jumaat lalu.

Untuk minggu kelima, program #JuaraParodi menjadi program mengenang Allahyarham Yus Jambu yang meninggal dunia pada 30 November lalu.

Mengangkat tema Pak Yus Dalam Kenangan, program tersebut dijayakan oleh semua peserta #JuaraParodi bersama juri tetap dan tetamu undangan seperti Dato’ AC Mizal, Sabri Yunus dan kumpulan Rabbani.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal