Filem Ola Bola yang mengetengahkan sukan bola sepak tempatan sekitar tahun 80an ini baru sahaja melancarkan trailer filem dan lagu tema keduanya yang bertajuk ‘We Will Believe Again'.

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata filem ini mempunyai nilai keharmonian yang sangat tinggi dan tidak memfokuskan kepada perkembangan bola sepak sahaja.

Ia juga mengangkat martabat nilai bangsa Malaysia yang bersatu padu serta sokongan yang tiada berbelah bagi pada ketika itu sangat mencintai pasukan bola sepak negara.

“Filem ini penuh dengan elemen aksi, emosi dan inspirasi yang mensasarkan semua penonton Malaysia yang berbilang kaum.

“Kami yakin anda akan tersentuh hati dan juga akan menangis menonton filem ini kerana ia amat dekat dengan hati kalian yang sayangkan negara dan sukan bola sepak.

“Begitu juga dengan lagu tema yang kedua ‘We Will Believe Again’ yang menghangatkan lagi filem Ola Bola untuk ditonton.

“Saya juga tertarik dengan Sinematografi filem ini yang sangat cantik dan tidak percaya lokasi penggambarannya dilakukan di bumi kita sendiri.

“Walaupun ditunjukkan sedikit sahaja di trailer filem ia berjaya menarik hati saya untuk menonton keseluruhan ini pada 28 Januari 2016,” katanya.

Henry ditemui pada majlis sidang media Ola Bola baru-baru ini di The Tarik Place, The Curve.

Filem ini dibarisi dengan pelakon baru antaranya JC Chee, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, Saran Kumar Manokaran, Eric Teng Shin Wang dan ramai lagi.

Bagi yang belum berkesempatan melihat trailer filem Ola Bola ini, Astro Gempak kongsikan untuk tontonan bersama.

Teks Oleh: Mohd Ishahrulddin Md Tahir