Kaedah membalut hantaran semakin menjadi fenomena kini apabila ramai pengantin memilih untuk menyembunyikan barangan yang dijadikan sebagai hadiah untuk pasangan mereka.

Menerusi entri seorang pengguna Twitter, @eliyaya, dia berkongsi sekeping gambar hantaran sorok dengan pertanyaan, “Macam mana nak explain dekat parents eh kalau kita nak buat hidden hantaran macam ni?”

Tweet terbabit kemudiannya menjadi tular gara-gara ramai sebenarnya yang meminati konsep sorok hantaran.

Ada seorang individu kemudiannya memberi maklum balas tujuan dia membalut hantaran sewaktu majlis perkahwinannya adalah bagi mengelakkan barang hantaran dicuri.

Selain itu, ada seorang lagi memberikan komen sorok hantaran ini elok untuk mengelak cakap-cakap makcik-makcik bawang yang selalu menyindir hantaran pasangan pengantin.

Namun, tujuan utama sorok hantaran ini adalah untuk mengelakkan sikap menunjuk dalam pemberian hantaran sehingga boleh mencetuskan rasa dengki orang yang melihat.

Meneliti komen-komen netizen, ramai yang mahukan konsep sorok hantaran ini kerana ia bersifat klasik pada masa yang sama minimalis.

Kebanyakkan sorok hantaran ini menggunakan kain satin polos, kain sifon berwarna ataupun kain batik.

Jadi, adakah bakal pengantin di luar bakal memilih sorok hantaran?