Kumpulan Wings mengadakan konvoi motosikal ke selatan tanah air dan Singapura untuk mempromosikan konsert Wings 30 Tahun yang bakal diadakan di Plaza Angsana, Johor Baru pada 25 Disember ini.

Kembara jelajah yang bermula selama empat hari sejak 10 Disember lalu itu disertai 30 buah motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson yang terdiri daripada Wings Riders dan AgeTech Riders.

Lebih menarik lagi, konvoi tersebut telah diketuai oleh Awie sendiri, selaku vokalis kumpulan berkenaan.

Konvoi bermula di Palm Mall, Seremban, Negeri Sembilan dan beberapa lokasi lain di Melaka bagi sesi bertemu peminat.

Kumpulan konvoi turut meneruskan misi ke Muar, Batu Pahat dan Kluang sambil mengagihkan barangan cenderamata kepada peminat.

Selain Awie, ia turut disertai oleh anggota Wings lain iaitu Eddie, Black dan Joe.

Dalam acara itu juga, Awie diberi penghormatan merasmikan majlis Bingit Bike Fest iaitu sebuah acara bermotor yang bakal diadakan di Kota Tinggi.

Konvoi turut ke Singapura untuk menjayakan sidang media berkaitan konsert serta bertemu peminat di negara itu.

Konsert Wings 30 pada minggu hadapan yang bertemakan Back To 80’s itu bakal menampilkan ‘band’ tempatan seperti Titanium, Statik, The Mister, D’fender, Ucop & Friends dan Beta mempersembahkan lagu-lagu popular Wings.

Selain itu, turut ditampilkan persembahan dari bekas anggota Wings iaitu Mel, Sham dan Jojet serta sahabat Wings seperti XPDC, Aweera, Ronnie, Ito, Lan Typewriter , Yassin dan Apek.

Tiket-tiket berharga dari RM35 (Pelajar) hingga RM600 boleh didapati dengan melayari www.tickethotline.com.my dan www.sayap2wings.com

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin