Pengarah Osman Ali bakal muncul dengan buah tangan terbarunya, sebuah filem berjudul Langit Cinta.

Untuk karya terbarunya ini, Osman mempertaruhkan mempertaruhkan artis seperti Fazura, Keith Foo, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Farid Kamil dan Siti Saleha.

Populariti pelakon ini bagi masyarakat Melayu dijangka mampu menarik penonton untuk menyelami kisah cinta ini yang digarap oleh Osman menerusi Langit Cinta.

Menariknya filem ini, Fazura yang selama ini cukup terkenal dengan watak gadis urban, berjaya membawakan watak gadis kampung dengan baik.

Osman mengambil langkah bijak dengan meletakkan Ogy dan Farid Kamil sebagai pelakon kerana kedua-dua mereka merupakan penguat Langit Cinta.

Dalam pada itu, Osman juga telah merancang strategi untuk memasarkan novel Langit Cinta selepas filem ini menemui penonton.

Berbeza dengan Ombak Rindu, Osman mahu penonton melihat filem terlebih dahulu sebelum larut dalam emosi menerusi pembacaan novel yang mengangkat Damya Hanna sebagai penulisnya.

Langit Cinta akan mula menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 7 Januari 2016.

Sinopsis

Langit Cinta mengisahkan percintaan antara Alif Zulkarnain (Keith Foo) dengan Khadijah (Fazura). Alif adalah anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan korporat keluarga. Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Khadijah.

Dia juga mula mengenali erti kehidupan sebenar dan belajar memahami bahawa kesederhanaan itu indah. Biarpun hubungannya ditentang keluarga, namun Alif nekad memperisterikan Khadijah. Bermula dari situ, kehidupan Alif dirundung pelbagai dugaan dan cabaran demi cabaran harus ditempuh dalam hidup dua insan itu.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin