Pendatang baru Nadzmi Adhwa menceritakan pengalamannya yang banyak menjiwai adegan menangis sewaktu membintangi filem Langit Cinta yang diarahkan oleh sutradara terkemuka, Osman Ali.

Menurut Nadzmi Adhwa atau nama sebenarnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, dia merasa bangga dapat berlakon dibawah arahan Osman Ali yang juga merupakan individu yang memperkenalkannya dengan dunia lakonan.

“Saya membawakan watak Leroy, adik kepada Alif, lakonan Keith Foo. Saya merupakan seorang adik yang rapat dengan abangnya. Leroy tahu keperitan yang dilalui oleh abangnya semasa bercinta dengan Khadija, lakonan Nur Fazura.

“Saya sangat berbangga dapat berlakon bawah arahan pengarah terkemuka seperti Osman. Dia membawa saya dalam industri lakonan menerusi telefilem Toll Gate Asmara. Dalam filem Langit Cinta, watak Leroy memerlukan saya untuk banyak menangis,” kata Nadzmi kepada Astro Gempak.

Jelas Nadzmi lagi, dia cukup bertuah dapat berlakon di samping beberapa barisan pelakon hebat tanah air seperti seperti Keith Foo, Nur Fazura, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Dian P. Ramlee, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.

“Mereka sangat membantu dan banyak memberi input kepada saya. Harapan semoga lakonan saya dalam Langit Cinta dapat diterima peminat di luar sana,” ujar Nadzmi yang ditemui di Bazaar Lepak Village People, Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam Bazaar Lepak Village People yang berlangsung pada 19 dan 20 Disember lalu, Nadzmi turut berkongsi mengenai perniagaan yang telah dijalankan sejak setahun yang lalu.

“Saya menjual biskut Nadz Cookies yang diusahakan bersama dengan adik-beradik saya, Nadz Brothers and Co. Selain berlakon, saya juga memang minat berniaga.

“Keluarga saya pun memang menjalankan perniagaan. Selain jualan biskut, keluarga saya mempunyai bisnes katering dan agensi pelancongan. Saya berharap agar perniagaan yang saya jalankan maju seiring dengan perkembangan saya dalam dunia hiburan,” jelasnya mengakhiri temubual.

Teks Oleh: Kamaruddin Razal