Penerbit dan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS berkongsi tip untuk menjalinkan sesebuah perhubungan.

Menurut suami kepada penyanyi Datin Alyah ini, jujur kepada diri sendiri merupakan perkara penting dalam setiap perhubungan.

“Dalam apa sahaja hubungan, sama ada hubungan dengan kawan, suami isteri, adik beradik dan sebagainya, harus jujur kepada diri sendiri.

“Perkara yang paling terbaik adalah untuk percaya dan ikhlas dengan diri sendiri. Bila kita jujur dengan diri sendiri, kita juga akan turut bersikap jujur dengan orang lain," katanya.

Percaya dengan kejujuran dan keikhlasan, Ramli yang juga merupakan pengkritik tetap program Gegar Vaganza 2 ini menjelaskan yang perkara tersebut akan membantu apabila kita diuji oleh masalah dalam kehidupan.

“Saya percaya yang apabila kita jujur, perkara tersebut yang melindungi diri kita. Bila ditimpa sesuatu perkara, perkara itu juga yang bakal menolong kita untuk melalui masalah. Semuanya adalah kerana kejujuran,” kata Ramli.

Berkongsi pengalaman apabila suami lebih berusia daripada isteri, Ramli menjelaskan yang usia tidak menjadi sebuah faktor dalam sesuatu hubungan.

“Bukan usia yang menjadi sebuah faktor yang susah dalam hal ini. Yang muda itu lebih bertuah kerana yang berusia ini akan lebih cool.

“Tanggungjawab orang berusia juga lebih baik dan banyak kerana mereka pernah melalui pelbagai perkara terlebih dahulu berbanding orang muda,” kata Ramli mengakhiri perbualan.

Olahan semula: Kamaruddin Razal

Sumber: HLive!