Pelakon dan pengarah, Yusry Abdul Halim mengesahkan adiknya, Edry Abdul Halim tidak dapat bersama keluarga Syawal ini.

Namun Yusry berkata ia tidak menghalangnya dan keluarga untuk berkomunikasi dengan Edry yang kini menetap di Manchester, United Kingdom.

“Edry tidak dapat balik raya tahun ini tetapi dia sempat pulang ke Malaysia sebelum Ramadan lalu.

“Namun kami sedikit pun tidak rasa kehilangannya kerana kini dunia tidak macam dahulu.

“Walapun dia jauh tapi kami sering berkomunikasi serta facetime,” katanya kepada Gempak.

Bercerita mengenai perkembangan lain, Yusry memberitahu dia bakal mengarahkan sebuah filem selepas raya ini.

“Saya banyak bekerja dengan pihak produksi luar sekarang dan dalam masa yang sama tetap membuat kerja-kerja dengan KRU Studios.

“Insya-Allah selepas raya ini saya akan mengarahkan sebuah filem dengan produksi lain,” katanya lagi.

Yusry dan Edry popular di era 90-an dengan kumpulan KRU bersama abangnya, Datuk Norman Abdul Halim.