Demi menjaga hati pelbagai pihak termasuk keluarga, pelakon Aiman Hakim Ridza enggan mengulas lanjut mengenai keretakan hubungan cintanya bersama aktres Fathia Latiff.

Menurut Aiman, menyifatkan perkara itu terlalu peribadi dan berharap agar semua pihak memahami permintaannya.

“Saya tak mahu komen apa-apa mengenai perkara itu lagipun ia berkaitan dengan kehidupan peribadi saya.

“Sebenarnya lebih baik jika tidak banyak bercakap mengenai hal tersebut kerana banyak pihak yang perlu saya jaga.

“Saya juga tidak mahu menyinggung mana-mana pihak termasuklah keluarga dan saya rasa ini adalah cara yang terbaik.

“Jadi saya harap semua pihak memahami dan hormati keputusan saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Sesal Separuh Nyawa bertempat di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah Aiman lagi, dia kini mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap kerjaya lakonan dan mahukan kehidupan yang lebih baik.

“Kehidupan harian saya masih lagi sama seperti biasa, tidak ada masalah dan saya juga berharap ia bertambah baik setiap hari,” ulasnya pendek.

Aiman dan Fathia telah bercinta selama empat tahun sebelum hubungan tersebut terputus pada Disember tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Aiman bakal muncul dalam drama terbaru Sesal Separuh Nyawa terbitan Dark Wave Pictures Sdn Bhd di saluran HyypTV yang ditayangkan bermula 18 Januari ini.

Selain Aiman, drama tersebut juga dibintangi oleh Ayda Jebat, Aidit Noh, Nina Nadira (AF2015) dan Azhan Rani.

Teks Oleh: Mya Amri