Kemunculan aktor terkenal Hollywood, Will Smith di Kuala Lumpur pada petang Isnin mengejutkan ramai pihak.

Beberapa keping foto bintang Men In Black itu bersalaman dengan para peminatnya di pusat beli-belah Mid Valley turut menjadi viral di media sosial.

Menerusi foto yang tersebar di Facebook dan Twitter itu, orang ramai kelihatan terkejut apabila terserempak dengan Smith berhampiran sebuah restoran di pusat beli-belah berkenaan.

Smith dikatakan tiba di Malaysia pada malam Ahad dan dijangka pulang tengah malam Isnin.

Kemunculan bintang filem I Am Legend itu menjadi tumpuan ramai malah figura berusia 47 tahun itu dilihat memberikan senyum dan mesra bersalaman ketika terserempak dengan peminat.

Walau bagaimanapun, tujuan Smith yang juga popular dengan watak Will dalam sitkom The Fresh Prince of Bel Air datang ke negara ini tidak diketahui.

Kehadiran Smith turut disahkan salah seorang kenalan rapatnya, DJ Jazzy Jeff, atau nama sebenarnya Jeffrey Allen Townes, yang pernah membuat penampilan bersama dalam The Fresh Prince of Bel Air.

“Berada di Malaysia dan lihat dengan siapa saya terserempak di sini! JJFP 4 LIFE!” katanya menerusi sekeping foto yang dimuatnaik di akaun Twitternya, djjazzyjeff 215.

Difahamkan, Smith berada di Thailand baru-baru ini untuk bercuti pendek dengan keluarganya di sana.