Kumpulan Kobis Pedas yang dianggotai oleh Misha Omar dan Tauke Jambu menjawab dakwaan yang mengatakan mereka menang #JuaraParodi atas dasar simpati kepada Allahyarham Yus Jambu.

Yus merupakan ahli kumpulan Kobis Pedas yang telah meninggal dunia pada 30 November lalu ketika program #JuaraParodi sedang berlangsung.

"Jika ada yang berpendapat kumpulan Kobis Pedas menang kerana simpati, saya menerima perkara tersebut. Lagipun, simpati itu bukan kepada saya atau Misha, tetapi simpati itu adalah kepada Yus.

"Saya harap orang memahami keadaan tersebut kerana #JuaraParodi merupakan program terakhir yang melibatkan penyertaan Yus sebelum dia meninggal dunia.

"Kobis Pedas juga bukan hanya berkisar mengenai saya dan juga Misha, tetapi ianya melibatkan kami bertiga, gabungan kumpulan Jambu dan Misha Omar. Walaupun Yus sudah tiada, kami tetap membawa semangatnya bersama," kata Tauke.

Menerusi pentas akhir #JuaraParodi, kumpulan Kobis Pedas muncul juara dan mereka juga berjaya menggondol Anugerah Kumpulan Pilihan Penonton. Kobis Pedas membawa pulang hadiah berjumlah RM325,000.

Menurut Misha pula, penyanyi lagu Bunga Bunga Cinta itu mengambil perkara tersebut dari sudut yang lebih baik.

"Saya memandang positif perkara tersebut. Ianya bagaikan satu rahmat buat kami. Walaupun #JuaraParodi merupakan program terakhir Yus, kami tetap merasakan dia ada bersama kami.

"Wang kemenangan ini akan kami salurkan juga kepada Yus dan kami akan kongsi bertiga. Kami akan gunakannya untuk meneruskan kerja-kerja amal yang dilakukan oleh Yus seperti menyumbangkan ia kepada badan kebajikan, rumah-rumah anak yatim, sekolah tahfiz dan sebagainya," katanya.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Datuk Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap. Datuk AC Mizal pula bertindak selaku juri jemputan bagi konsert akhir.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal