Penghibur era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin, 78, kini berada dalam keadaan tidak sedar selepas diserang angin ahmar (strok) buat kali kedua menjelang waktu berbuka puasa semalam.

Menurut isteri beliau, Datin Effa Rizan, pemantauan yang dilakukan doktor mendapati Dahlan diserang strok di sebelah kanan pula.

Sekitar empat tahun lalu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu diserang strok kali pertama mengakibatkan lumpuh sebelah kiri.

Menceritakan detik-detik kecemasan itu, Effa berkata pada lewat petang Sabtu, beliau asyik berbual dengan suaminya sebelum Dahlan tiba-tiba senyap dan tidak memberikan sebarang reaksi.

Effa berusaha mengejutkan Dahlan kerana menyangkakan suaminya mungkin tertidur.

“Bila tidak sedap hati tengok keadaan Abang Dell (panggilan buat Dahlan) begitu, saya terus hubungi ambulans untuk bawa beliau ke Hospital Selayang,” kata Effa memetik laporan Astro Awani.

Memandangkan wad di Hospital Selayang penuh, Dahlan, kata Effa, masih ditempatkan di wad kecemasan hospital berkenaan dan beliau bergilir-gilir dengan anak menjaga suaminya.

Kata Effa, beliau dan anak-anak Natasha Idha, 40, Mohd Danial, 35, dan Athinia Ines, 24, tidak akan putus usaha untuk menjaga Dahlan sekalipun beliau diserang strok buat kali kedua.

“Saya reda dengan apa yang telah Allah aturkan. Dan saya tidak akan jemu menjaga Abang Dell.

"Saya tidak akan putus asa dan akan terus berusaha serta berdoa semoga keadaan Abang Dell kembali pulih,” ujar Effa lagi yang akan menunggu esok untuk mendengar laporan terkini keadaan suaminya daripada doktor pakar.

Sumber: Astro Awani
Foto: NSTP