Pelawak yang juga anggota kumpulan Shiro, Ajak menjelaskan penubuhan kumpulan LOL di Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) bukan kerana kepentingan peribadi.

Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohammad Hanaffi bin Razak, dia telah pun berbincang dengan Shahrol sebelum mengambil keputusan untuk menubuhkan kumpulan LOL.

“Shiro sebenarnya tidak berpecah. Kumpulan LOL adalah projek istimewa saya bersama Angah Raja Lawak dan Tauke Jambu.

"Selepas berbincang dengan Shahrol, dia mengambil keputusan untuk berehat tahun ini dan bersetuju saya menyertai LOL,” katanya kepada Astro Gempak.

Jelas Ajak, kumpulan Shiro masih lagi wujud dan akan tetap menggunakan nama kumpulannya itu pada masa akan datang.

“Kumpulan Shiro masih lagi wujud dan saya sendiri masih guna nama Ajak Shiro. Shahrol sendiri sokong niat kami bertiga untuk meneruskan legasi Allahyarham Pak Yus,” ujarnya.

Dalam pada itu anggota kumpulan LOL, Angah menjelaskan mereka berhasrat untuk membuka perniagaan dan separuh hasil pendapatan akan disalurkan kepada badan kebajikan sekiranya menang MLM 2016.

“Kalau kemenangan di pihak LOL, niat kami mahu sambung kebajikan dilakukan arwah Pak Yus yang selalu menderma kepada banyak pertubuhan sebelum ini. Itulah rutin arwah sehingga akhir hayatnya dan kami akan teruskan,” katanya.

Bagaimanapun LOL tidak mahu niat mereka disalah erti apabila bercadang untuk meneruskan kerja amal yang dilakukan Allahyarham Pak Yus.

"Kami buat perkara ini kerana keperibadian Allahyarham. Apa yang penting niat utama kami untuk meneruskan apa yang telah ditinggalkan arwah Pak Yus.

“Jenis perniagaan masih belum difikirkan tetapi separuh daripada keuntungan akan derma kepada mereka yang memerlukan. Itu juga sebagai amal jariah dari kami bertiga dan Allahyarham sendiri,” kata Ajak.

Program MLM 2016 bakal bersiaran setiap hari Jumaat jam 10 malam bermula 29 Januari di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Empat barisan juri tetap akan diketahui pada episod pertama MLM 2016 bersiaran.

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut!

Teks Oleh: Khalid Rahman