Kumpulan Joras mengakui peluang mereka ke final lebih cerah kerana tiada nama-nama besar di pentas Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Menurut Joras yang dianggotai oleh Rahim R2, Syuk SYJ dan Joey, terdapat dua kemungkinan yang akan berlaku apabila mereka menyertai MLM edisi kali ini.

“Banyak nama besar tidak menyertai MLM kali ini, jadi mungkin ada dua impak yang akan berlaku ke atas kami. Samada kami akan diberi laluan mudah atau kami akan kalah teruk dengan muka baru.

"Jadi risiko itu kami ambil sebagai satu cabaran besar untuk Joras,” kata Rahim kepada Astro Gempak.

Tambah Rahim, mereka merasa lega apabila persembahan Joras mendapat perhatian penonton sejak di minggu pertama MLM 2016.

“Matlamat Joras adalah respon penonton terhadap persembahan kami. Bila mereka gelak, kami lega sangat. Kadang kala punchline yang kami reka tak jadi, benda biasa pulak orang gelak.

“Benda-benda macam ini kita tak boleh ramalkan di pentas MLM,” katanya.

Tambahnya lagi, Joras mengharapkan mereka mampu bertahan sehingga ke pentas akhir walaupun terpaksa bermula dari bawah.

“Joras adalah kumpulan yang bersikap realistik. Kami tidak mahu berangan terlalu tinggi untuk bergelar juara untuk MLM 2016. Harapan kami supaya dapat berada di pentas akhir sudah memadai.

"Yang penting persembahan kena konsisten dan Insya Allah kami akan cuba,” ujarnya.

Dalam pada itu, Joras tidak menafikan kurang mendapat sokongan penonton kerana mereka kumpulan baru.

“Apa yang kami nampak, program MLM lebih ramai penonton dan peminat baru. Jadi Joras kena bermula dari 'kosong' untuk dapatkan sokongan peminat.

“Bocey satu-satunya kumpulan yang mempunyai peminat setia yang ramai. Mungkin makan masa untuk kami mempunyai peminat tersendiri,” kata Joey mengakhiri perbualan.

MLM 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal, bersiaran setiap hari Jumaat, pukul 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut!

Teks Oleh: Khalid Rahman