Pelakon Bell Ngasri menjelaskan dia tidak mahu terlalu menggunakan Amir sebagai bahan lawak setiap kali Shake muncul di pentas Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Menurut Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, dia mahu peminat mengenali kumpulan Shake dengan lawak-lawak matang mereka.

“Saya tidak mahu terlalu gunakan Amir sebagai bahan lawak dan cuba tampil dengan lawak yang lebih matang. Nanti penonton akan ingat kumpulan Shake tiada modal lain. Sebab itu di minggu kedua Shake cerita tentang lawak ‘Punchline’.

“Saya rasa tak sesuai rasanya kalau setiap minggu Amir jadi mangsa kami berdua,” katanya kepada Astro Gempak.

Walau bagaimanapun Bell tidak menafikan kumpulan Shake masih berusaha untuk membiasakan diri dengan idea lawak baru mereka.

“Kami akui jika lawak yang sudah di setkan, susah untuk penonton gelak. Tapi bila lawak spontan orang suka, macam apa yang jadi berlaku di minggu kedua. Shake masih cuba lakukan sesuatu yang peminat MLM boleh terima,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amir mengakui tidak pernah berasa kecil hati sekiranya kumpulan Shake sering menggunakan dirinya sebagai modal lawak.

“Sebenarnya skrip Shake saya yang buat, jadi tiada istilah saya kecil hati atau tidak setuju dengan lawak yang kami bawakan. Saya sedar peminat dan penonton MLM suka jika saya jadi bahan lawak seperti musim yang lalu.

“Pada saya ianya sudah jadi trademark Shake sejak kami sertai MLM,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Kumpulan Shake yang dianggotai oleh Bell Ngasri, Mie dan Amir Raja Lawak sebelum ini pernah menyertai Maharaja Lawak Mega 2014 dan hanya bertahan sehingga di minggu ketujuh.

MLM 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal, bersiaran setiap hari Jumaat, pukul 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut!

Teks Oleh: Khalid Rahman