Juri tetap Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Shaheizy Sam meluahkan rasa kecewa dengan persembahan peserta di minggu ketiga.

Sam berkata, persembahan para peserta MLM 2016 seakan tidak kreatif dan sudah boleh dijangkakan.

“Sejujurnya saya lihat persembahan minggu ini semua sama. Sejak di minggu kedua saya sangat mengharapkan sesuatu yang hebat.

"Tapi sayangnya sehingga ke hari ini saya rasa tiada kumpulan lagi yang boleh buat kami barisan juri yang boleh gelak sakan,” luah Shaheizy Sam kepada Astro Gempak.

Tambahnya lagi, dia percaya para peserta mengambil mudah dan tidak berusaha untuk memberi yang terbaik buat penonton dan barisan pihak juri.

“Apa yang saya nampak mereka rasa sangat selesa dan sudah menjadi sebahagian daripada kerja sehingga tiada improvement dari segi persembahan.

"Saya lihat tema Bollywood sepatutnya mereka boleh buat macam-macam persembahan yang menarik, tetapi benda tipikal juga yang mereka bawakan,” ujarnya.

Selain itu dia turut merasakan persembahan setiap kumpulan masih mendatar dan berharap akan ada perubahan pada minggu hadapan.

"Mungkin saya terlalu mengharapkan sesuatu yang bagus kerana saya bekerja dengan penonton juga.

"Mereka pun mahu sesuatu persembahan yang boleh buat ‘Ketawa Besar’, tapi sayangnya tiada,” katanya.

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.

Dalam pada itu, Sam mengakui Bocey dan SayWho merupakan dua kumpulan yang mempunyai kekuatan dari segi keserasian dan karakter.

“Saya nampak okay basically tak okay sangat tetapi saya suka dengan kumpulan Bocey dan Saywho kerana keserasian yang cukup kuat tetapi idea lawak masih bukan ditahap yang membanggakan.

"Ada kumpulan yang boleh buat kita terhibur tetapi dari segi kreativiti mereka masih kurang,” jelas Sam mengakhiri perbualan.

Minggu ketiga MLM 2016 menyaksikan Chilok dan peserta solo Kavin diumumkan sebagai peserta yang tersingkir selepas berada di kelompok tiga terbawah untuk dua kali berturut-turut.

Teks Oleh: Khalid Rahman