Membariskan penyanyi lelaki terkenal gabungan tiga negara serumpun, Malaysia, Indonesia dan Singapura, Konsert 5 Divo yang berlangsung pada malam Sabtu di Stadium Malawati, Shah Alam cukup mengujakan.

Memukau lebih kurang 5,000 penonton yang hadir, tidak keterlaluan jika dikatakan Konsert 5 Divo menjadi satu pembuka tirai yang baik untuk siri konsert pada tahun 2016 dan ianya bertaraf lima bintang.

Persembahan mantap Hafiz Suip, Hazama, Afgan, Judika dan Taufik Batisah menyanyikan lagu-lagu hit mereka membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Dimulakan pada jam 9.00 malam, Taufik membuka pentas menyanyikan lagu popularnya, Awak Kat Mane. Taufik menghiburkan penonton dengan tariannya yang lincah.

Seterusnya, Hafiz mengambil tempat dan mempersembahkan lagu yang pernah memenangi tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu 25, Noktah Cinta. Seperti biasa, penonton kelihatan terpaku dengan vokal mantap Hafiz.

Selepas itu, giliran Afgan pula menghiburkan penonton dengan menyanyikan lagu Ku Mohon, nyanyian asal Datuk Sheila Majid. Menariknya, penyanyi asal lagu tersebut, Datuk Sheila Majid berada di kerusi penonton dan Afgan sendiri meluahkan rasa gementarnya mempersembahkan lagu itu di hadapan Sheila.

Hazama pula mengambil alih pentas dan mempersembahkan lagu berhantunya, Penglipur Lara. Tidak hanya duduk diam, gerak geri Hazama yang lincah dan bertenaga membuatkan hadirin turut menyanyi bersama Hazama.

Kehadiran Judika di atas pentas selepas selesai persembahan Hazama membuatkan ramai penonton bersorak gembira. Judika menyampaikan lagu yang memperkenalkan namanya di persada nyanyian, Bukan Rayuan Gombal dengan begitu bertenaga.

Mereka turut menyanyikan lagu-lagu hit mereka yang lain seperti Ku Akui, Bahagiamu Deritaku, Awan Nano, Usah Lepaskan, Menakluk Cinta, Knock Me Out, Jodoh Pasti Bertemu, Malaikat, Relakan Jiwa, Bukan Dia Tapi Aku dan Aku Yang Tersakiti.

Mereka juga turut menyanyikan lagu secara duet. Afgan dan Taufik menyampaikan lagu Love Never Felt So Good nyanyian asal Michael Jackson dengan mantap manakala Hazama bersama Judika berpadu tenaga berduet menyanyikan lagu Sampai Mati dan Setengah Mati Merindu.

Sebagai penutup, semua penyanyi hebat itu menyampaikan lagu Dealova nyanyian asal Once dan Lelaki Ini dendangan asal Anuar Zain dalam rendisi tersendiri.

Gabungan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura benar-benar memberi impak apabila setiap dari nyanyian mereka, sama ada solo, duet mahupun berlima meninggalkan bekas di hati penonton yang hadir.

Konsert anjuran Laugh Out Loud Entertainment itu menampilkan iringan muzik orkestra yang diketuai oleh pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS.

Konsert 5 Divo turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis seperti Jihan Muse, Nabila Huda, Sabbhi Saddi, Elfira Loy, Nana Mahazan, Arja Lee, Yasmin Hani, Fazli Zainal dan ramai lagi.

Berikut adalah sebahagian dari foto-foto menarik di sekitar Konsert 5 Divo, ihsan laman Instagram @littlestars_photography:

Teks oleh: Kamaruddin Razal