Pengacara Najip Ali menafikan dakwaan 'pilih bulu' dan bersikap berat sebelah di Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Menurut Najip dia hanya memberikan kritikan pedas dan bernas yang tidak menjatuhkan para peserta.

“Saya selalu beri kritikan yang bernas yang mempunyai tip dan nasihat yang boleh digunakan oleh para peserta untuk memperbaiki persembahan mereka dan kritikan saya adalah jujur.

“Seperti kumpulan Chilok sebelum ini, mereka tidak mempunyai keserasian. Saya mahu kumpulan mereka seimbang dan tahu tentang dinamik apabila membuat persembahan di pentas MLM 2016,” katanya kepada Astro Gempak.

Najip berkata, muka-muka baru di MLM 2016 perlu lebih berusaha untuk menempatkan diri mereka setanding dengan nama-nama besar.

“Jika sebelum ini MLM ada kumpulan-kumpulan yang sangat kuat dengan nama-nama besar seperti Jozan, Shiro dan Jambu. Berbeza dengan MLM 2016 kerana kita ada muka-muka baru yang berpeluang untuk jadi ‘The New Star’ sekiranya mereka berusaha lebih.

“Apa yang saya nak lihat adalah satu kumpulan yang dapat menempatkan diri mereka sama dengan nama-nama besar. Saya masih belum lihat lagi perkara yang sedemikian kerana setiap minggu prestasi mereka ada yang naik dan turun,” ujarnya.

Tambahnya, ada beberapa kumpulan di MLM 2016 yang sedar mengenai kehendak penonton yang semakin bijak menilai persembahan mereka.

“Saya nampak kumpulan Bocey, Joras, LOL dan Reza Mukmin sudah tahu penonton sudah pandai menilai persembahan peserta. Jadi mereka berusaha keras memberikan sudut-sudut komedi yang segar dan menarik,” jelasnya.

Sementara itu, Najip turut mengaku sentiasa teruja dan gembira untuk berada di kerusi juri MLM 2016 kerana idea yang dibawakan oleh para pelawak di Malaysia kreatif dan menghiburkan.

“Lawak di Malaysia sangat berbeza. Kadang kala punchline para pelawak bukan berdasarkan daripada jalan cerita dan berbaur sinis. Persembahan mereka di MLM sukar diramalkan dan ini yang penonton mahukan.

“Seperti kumpulan Bocey yang terima lima ‘Ha’ kerana idea mereka sangat random tetapi menghiburkan. Itu yang saya rasa kekuatan program ini sejak dahulu lagi,” ujar Najip mengakhiri perbualan.

Minggu keempat MLM 2016 menyaksikan kumpulan Xola yang dianggotai oleh Chot, One dan Wan Wala diumumkan sebagai peserta yang tersingkir selepas menerima undian terendah.

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut!

Teks Oleh: Khalid Rahman