Pelakon Sharifah Sakinah menyatakan permohonan maaf atas isu foto menjelir lidah ketika menunaikan ibadah umrah awal Februari lalu.

Menurut Sakinah, dia tidak mahu memanjangkan lagi isu tersebut dan mengakui kekhilafan dirinya.

“Saya tidak mahu hal tersebut dipanjangkan lagi, saya betul-betul minta maaf kalau apa yang saya lakukan itu membuat peminat bergaduh di laman sosial sehingga orang bergaduh atau memaki hamun tidak tentu pasal. Bagi saya senang sahaja, apabila saya buat salah, saya minta maaf.

“Saya juga tidak menyimpan dendam dengan orang lain. Jadi saya salahkan diri sendiri di atas kejahilan atau kesalahan saya,” katanya.

Tambah Sakinah lagi, dia tidak berkecil hati terhadap komen-komen negatif yang diterima sebaliknya meminta mereka tidak menggunakan bahasa yang kasar.

“Bagi saya mereka (masyarakat) mempunyai hak untuk bersuara. Cuma, saya fikir apabila meluahkan sesuatu perkara atau pendapat, usah gunakan bahasa yang kasar atau kesat.

“Sebaliknya, bersopan santunlah berkongsi pendapat kerana itu sememangnya budaya kita. Saya tahu niat mereka baik untuk menegur.

“Tetapi gunalah perkataan yang mencerminkan keperibadian yang baik. Itu adalah lebih baik dan berkesan.

“Biarlah, mulut orang mahu cakap. Biarkan sahaja. Apa yang telah saya lakukan tidak kiralah perkara baik atau buruk, itu antara saya dengan Tuhan.

“Saya harap perubahan positif dalam diri saya sebagai seorang muslimah berlaku perlahan-lahan, Insya-Allah,” jelasnya.

Terdahulu, pengikut Instagram Sakinah telah mengkritik foto jelir lidah yang dimuat naik oleh aktres tersebut minggu lalu.

Olahan Oleh: Mya Amri

Sumber: Kosmo