Kumpulan berasal dari Indonesia, Radja menafikan dakwaan berperangai diva kerana sering membuat permintaan tidak masuk akal sehingga pihak penganjur di Malaysia tidak mahu bekerjasama dengan mereka.

Menurut vokalisnya, Ian Kasela, mereka mempunyai prosuder tersendiri dan setiap syarat masih boleh dibawa berbincang.

“Tidak benar kalau ada isu begitu kerana populariti Radja di Malaysia dibantu oleh teman-teman media dan peminat. Mungkin hanya salah faham di situ kerana biasa kalau ada prosuder tertentu itu memang ada kerana ada syarat-syarat tertentu yang perlu dibincangkan.

“Kami sama sekali tidak bersifat demanding seperti dakwaan sesetengah pihak,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaru Radja, Setia di Hotel Royal, Kuala Lumpur.

Tambah Ian, selepas sekian lama tidak melakukan sebarang persembahan di Malaysia Radja bakal bawakan sesuatu yang istimewa buat para peminat di sini.

“Kami sudah lama tidak ke Malaysia dan yang pasti kami mahu lepas rindu. Jadi Radja sudah merancang untuk mengadakan sebuah konsert istimewa secara besar-besaran di Malaysia dalam tahun ini juga. Yang pastinya, konsert kami bakal berlangsung sebelum hari raya,” ujarnya.

Katanya lagi, mereka tidak pernah risau dengan persaingan oleh kumpulan-kumpulan baru dari Indonesia yang kini mendapat tempat di hati peminat Malaysia.

“Kami percaya Radja mempunyai kekuatan muzik yang tersendiri dan tahu peminat tetap sentiasa menyokong kami. Sebab itu lagu terbaru kami, Setia serba sedikit mempunyai kaitan antara hubungan peminat dengan Radja dan kehadiran kami ke Malaysia kerana mahu merealisasikan sesuatu buat peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Radja menafikan dakwaan mereka berpecah hampir lima tahun sejak 2010 kerana perselisihan faham tetapi kerana komitmen yang harus diselesaikan.

“Selepas tamat kontrak dengan label EMI, Indra mengambil keputusan untuk keluar dari Radja dan membuat haluan sendiri sementara Seno melanjutkan pelajaran ke universiti. Kami kembali bergabungan pada tahun 2015 dan lagu Setia adalah single pertama kami.

“Apabila Radja kembali bergabung, kami feel better dan kami percaya gabungan kami berempat lebih berjaya bersama. Pengajaran daripada perpecahan ialah muzik kami lebih berkembang dan Alhamdulillah Radja sudah dikira establish di Indonesia,” katanya mengakhiri perbualan.

Radja ditubuhkan pada 17 Mac 2001 dan terdiri daripada Ian Kasela (vokalis), Moldy (gitaris), Indra (bass) dan Seno (dram).

Teks Oleh: Khalid Rahman