Kumpulan Bos, berharap diberi peluang muncul dalam lambakan program komedi terbitan Astro selepas tersingkir di Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Menurut Bos yang dianggotai oleh Ajo, Abu dan Ezad Lazim, sekurang-kurangnya mereka tidak hanya sekadar ‘memeriahkan’ program MLM yang diadakan setahun sekali.

"Kami berharap pihak Astro memberi peluang kepada kumpulan Bos untuk muncul dalam mana-mana program komedi selepas ini.

“Sejujurnya kami hanya akan muncul setahun sekali apabila menyertai program MLM. Selepas itu kami akan diam begitu sahaja dan tidak lagi terlibat dalam mana-mana program komedi terbitan Astro,” ujar kumpulan Bos kepada Astro Gempak.

Jelas Bos lagi, penglibatan mereka menerusi program-program komedi Astro mampu mengembangkan bakat mereka dan mudah dikenali ramai.

“Setidaknya jika kami terlibat dalam program komedi Astro dapat kembangkan karier lawak kami kerana kami hanya freelancer. Selain itu secara tidak langsung kami mudah dikenali peminat komedi lebih-lebih lagi dengan penubuhan Bos yang masih baru lagi,” kata Bos.

Dalam pada itu, kumpulan Bos mengucapkan terima kepada pihak Astro kerana memberi peluang kepada mereka untuk menglibatkan diri dalam program MLM 2016.

“Apa pun kami nak ucapkan terima kasih tidak terhingga kerana beri peluang kepada kami untuk berada di MLM 2016. Bersaing sehingga di minggu keenam satu pencapaian yang cukup baik kerana kumpulan Bos masih terlalu baru.

“Insya Allah jika sekali lagi diberi peluang untuk beraksi di MLM tahun depan, kami akan cuba buat yang terbaik untuk peminat-peminat komedi,” jelas Bos mengakhiri perbualan.

Minggu keenam Maharaja Lawak Mega 2016 menyaksikan kumpulan Bos yang dianggotai oleh Ajo, Bos dan Ezad Lazim tersingkir selepas menerima undian terendah dikalangan tiga tercorot.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Para peserta bakal diuji dengan tema yang lebih menarik dan mencabar iaitu Muzikal di minggu ketujuh.

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.

Teks Oleh: Khalid Rahman