Vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 28, bakal menjadi seorang bapa.

Isteri Sam, penerbit rancangan televisyen, Aida Azira Husin kini sedang hamil anak sulung mereka dan kandungan Aida kini memasuki usia tiga bulan.

"Sekarang isteri saya sedang hamil tiga bulan. Jika semuanya dipermudahkan, isteri saya bakal melahirkan anak sulung kami pada September ini.

“Perasaan saya sudah tentu seronok dan teruja kerana selepas hampir setahun menunggu, akhirnya saya bakal dikurniakan cahaya mata,” kata Sam kepada BH Online.

Menurut Sam, isterinya tidak mengalami alahan yang teruk. Sam juga tidak kisah dengan jantina anak dalam kandungan isterinya.

“Alahan yang isteri saya rasakan tidak teruk, setakat muntah-muntah sahaja. Mengenai jantina, saya tidak kisah, asalkan bayi itu sihat dan sempurna,” katanya lagi.

Selepas menjalinkan ikatan pertunangan pada 6 Oktober 2014, Sam sah bergelar suami kepada Aida dengan sekali lafaz pada 25 April 2015 tepat pada jam 9.27 pagi. Majlis pernikahan mereka diadakan di Dewan Sapura, Mines Resort City, Seri Kembangan.

Tahniah Astro Gempak ucapkan kepada Sam dan Aida atas berita gembira ini!

Sumber: BH Online.