Sepotong video yang dimuat naik menerusi akaun Instagram Selangor Royal Official baru-baru ini menggamit kenangan warganet suatu ketika dahulu.

Jika masih ingat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pernah mencuri hati rakyat menerusi kesantunan sebagai pembaca berita ketika bertugas di sebuah stesen televisyen tempatan.

Kembali mengubat rindu, Tengku Permaisuri Norashikin sekali lagi meraih tumpuan ramai apabila menyampaikan titah ucapan sempena ulangtahun stesen televisyen berkenaan baru-baru ini.

Selain mendoakan untuk stesen penyiaran yang dihormati dan disegani ramai untuk mengekalkan reputasi, baginda menganggap bekas warga kerjanya sebagai keluarga sepanjang tempoh perkhidmatan baginda.

? 1 April 2019 ~ TITAH UCAPAN TAHNIAH OLEH DYMM TENGKU PERMAISURI SELANGOR TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN SEMPENA HARI ULANGTAHUN RTM KE-73 ✨ Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan Ulangtahun RTM yang ke-73. Saya mendoakan semoga RTM terus menjadi stesen penyiaran yang dihormati dan disegani oleh sekalian rakyat. Bukan mudah untuk RTM mengekalkan reputasi dan pencapaian terbaik sejak mula ditubuhkan, namun sehingga kini segala usaha dan komitmen yang ditunjukkan setiap warga kerjanya telah membuahkan hasil dan menempatkan RTM sebagai penyiar terunggul di negara ini. Sebagai antara bekas kakitangan RTM yang pernah berkhidmat selama 20 tahun, RTM dan seluruh warga kerjanya di Angkasapuri telah saya anggap sebagai keluarga kerana sepanjang tempoh saya berkhidmat, ianya dipenuhi dengan pelbagai pengalaman dan kenangan yang tidak akan saya lupakan. Selepas ini, saya ingin melihat RTM terus komited dan relevan berpaksikan prinsip-prinsip dan etika-etika penyiaran selaras dengan peredaran zaman dan sentiasa menyalurkan berita-berita serta informasi yang tepat dan saksama kepada para penonton dan pendengar. Saya turut ingin mendoakan agar seluruh warga kerja RTM sentiasa dikurniakan dengan kesihatan yang baik supaya dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi. TAHNIAH SEKALI LAGI RTM UNTUK 73 TAHUN YANG CEMERLANG!

A post shared by SelangorRoyalOfficial (@selangorroyalofficial) on


Rakaman video itu mendapat pujian daripada peminat yang rata-ratanya merindukan Tengku Permaisuri Norashikin beraksi di kaca televisyen.

"Gaya pembaca berita masih ada," tulis @Hanhaziqah.

"Suara dan gaya tetap sebagai presenter TV tahniah Tuanku tak ubah gaya," puji @dtk.dejoe.

"Gaya tak ubah macam dulu... one of the reason patik tengok berita RTM zaman-zaman tuanku," tambah @shinaahmad.

"Sedapnya Tengku Permaisuri baca berita," tulis @ummuhaniali.

"Alhamdulillah, suara yang tak pernah berubah, sama seperti dulu, salam rindu dari Brunei Darussalam," tambah @kekasih_syurgaku.