Pelakon Elfira Loy, 25, menjawab desas-desus yang mendakwa dirinya sedang berbadan dua.

"Lumrah pasangan yang sudah berkahwin, mesti mereka mahukan cahaya mata sebagai penyeri keluarga.

"Alhamdulillah, semenjak hari pertama saya bernikah, saya telah menerima doa dan kata-kata yang baik dari peminat.

"Mereka berharap serta mahu melihat saya dan suami menimang anak secepat mungkin.

"Jadi, bagi menjawab desas-desus terbabit, saya mohon semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk saya dan suami, Insya-Allah," jawab Elfira sambil tersenyum.

Sebelum ini, timbul khabar yang mengatakan Elfira sedang berbadan dua, melihatkan kepada penampilan pelakon itu yang kelihatan lebih berisi berbanding biasa.

Elfira ditemui usai majlis pertunjukan fesyen Hari Raya 2019 jenama Alhumaira yang diadakan di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur sebentar tadi.

Di majlis terbabit, pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu turut diumumkan sebagai wajah baru koleksi Hari Raya 2019 serta duta jenama Alhumaira.

Elfira mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Muhammad Faris Khairol Anuar, 28, pada 1 Januari lalu.

Sebelum itu, Elfira dan Faris mengikat tali pertunangan pada 2 September 2018.