Walaupun menerima pujian dan meter ‘Lima Ha’, peserta Solo Rayza Mukmin dikritik hebat oleh salah seorang Chief Lawak Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Sharnaaz Ahmad.

Menerusi kemaskini laman Twitternya, pelakon kelahiran Pulau Pinang itu mengharapkan Rayza untuk tampil dengan sebuah persembahan yang berbeza daripada ‘Stand-up Comedy’.

“Rayza, jujur cakap aku nak tengok lain dari kau. Tak mau lah layan standup sampai tua. Market sini bukan Amerika, bagi kelainan. Next,” komen Sharnaaz di laman Twitter miliknya.

Malah Sharnaaz turut menanggap persembahan Rayza di minggu ketujuh tiada pengisian dan jangan terlalu selesa dengan kedudukannya yang terkini di MLM 2016.

“Tak lawak bos, aku pun tak faham apa kau cuba buat,” komennya.

Namun, Sharnaaz akur dengan keputusan pihak juri yang memberi meter ‘Lima Ha’ kepada Rayza yang memberi pujian dengan kreativitinya di minggu Muzikal.

“Pendapat masing-masing.. Tapi keep up the good work Rayza Cuma please cuba benda lain bro,” tegur Sharnaaz.

Sejak di minggu keenam, persembahan Rayza mendapat respon positif oleh peminat dan penonton MLM 2016 di media sosial. Lebih mengejutkan, pelawak kelahiran Pahang ini menerima ‘Lima Ha’ dua minggu berturut-turut.