Kesemua finalis Kilauan Emas Otai (KE Otai) menarik nafas lega selepas Raja Azura mengumumkan tiada penyingkiran di minggu kedua konsert.

Tiga peserta yang berada di tangga ketiga terbawah iaitu Silah, Arip dan Ali mengaku masih banyak kelemahan dalam nyanyian mereka yang perlu diperbaiki.

Silah yang menyanyikan lagu Tiada Lagi Aku nyanyian asal Rusty Blade berkata, kelemahan utama dirinya ialah penghayatan.

“Kelemahan saya ialah tidak hayati lagu itu dengan sepenuhnya dan nafas saya agak terganggu. Jadi, saya kena banyakkan senaman dan baiki nyanyian dari segi teknikal vokal. Saya harap minggu depan saya dapat lakukan yang terbaik.

“Saya akui saya agak terkongkong dengan lagu yang ingin dizahirkan. Lagu yang saya nyanyikan itu tidak ubah apa-apa dari segi susunan muzik dan ‘key’,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu kedua KE Otai pada malam Rabu.

Sementara itu Arip yang juga juara KE musim ke empat berkata, dia reda sekiranya ditakdirkan tersingkir di minggu kedua.

“Kalau saya ditakdirkan tersinggkir di minggu kedua saya reda. Saya akui kelemahan yang telah saya lakukan kerana saya hanya beri 50 peratus kekuatan dalam nyanyian.

“Secara jujur saya memang tak familiar dengan lagu Mimpi Laila, walaupun pernah mendengarnya tetapi saya tak pernah menyanyikan lagu tersebut. Apa yang boleh saya perbetulkan selepas ini, buang rasa gementar dan kawal muka yang cuak. Itu saya kena buat pada minggu depan,” katanya.

Juara KE musim pertama, Ali Norpiah yang mendapat undian terendah di konsert kedua pula memberitahu dia menerima komen juri dari sudut yang positif.

“Saya pun dah jangka berada di tangga terbawah. Lagu Selingkar Kasih, memang tak seiring dengan usia saya. Pernah dengar tapi tak sangka pula kena nyanyi lagu ini di Kilauan Emas Otai.

“Saya akui konsert kedua ini tidak menjadi, saya agak gagal. Apa-apa pun saya kena baiki kelemahan dan tanya cikgu-cikgu untuk tambahkan lagi pengetahuan dari segi teknikal dan vokal,” ujarnya.

Kilauan Emas Otai bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras pada setiap Rabu dan boleh ditonton di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135) bermula jam 9 malam.

Untuk melihat video persembahan dan perkembangan lain KE Otai klik di sini Kilauan Emas Otai.