Pelakon tampan, Syafiq Kyle berharap penyanyi Aiman Tino menyelesaikan isu penularan video yang didakwa miripnya dalam keadaan waras tanpa tekanan.

Menurut Syafiq, dalam situasi ini apa yang penting adalah sokongan keluarga.

"Saya tiada nasihat apa-apa untuk diperkatakan kerana mereka boleh berfikir dengan baik, waras tanpa tekanan.

"Cukup hanya dengan mendapat sokongan daripada keluarga, itu paling penting saya rasa," katanya kepada Gempak.

Syafiq ditemui semasa majlis memperkenalkan koleksi Aidilfitri 2019 di Blackbox Publika, baru-baru ini.

Tambah pemilik nama penuh Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, dia menegaskan tidak boleh sewenangnya menjatuhkan hukuman dengan apa yang telah dilakukan oleh individu tersebut.

"Saya tidak boleh cakap apa, kita pun sudah banyak lalui masalah.

"Bukan hanya pasal industri, banyak lagi perkara besar seperti penipuan dan rasuah.

"Kita tidak boleh menjatuhkan hukuman dengan apa yang telah dilakukan oleh individu tersebut.

"Kita sepatutnya tengok pada diri sendiri apa yang akan dilakukan ataupun telah dibuat.

"Cukup ke kita untuk menasihati ataupun berkongsi pendapat, sedangkan diri sendiri tidak pasti betul atau tidak apa sebenarnya sedang dilakukan," katanya lagi.