Juri tetap Kilauan Emas (KE) Otai, Datuk Ramli MS memuji nyanyian Idris di konsert kedua kerana tidak terikut-ikut dengan gaya penyanyi asal ketika membuat persembahan.

Menurut Ramli, persembahan Idris terkawal dan dia telah menyanyi dengan baik berbanding sembilan peserta lain.

“Tidak semua peserta menyanyi ‘teruk’, cuma mereka perlu perbaiki kawalan vokal dan teknik nyanyian juga perlu diperbetul.

“Idris peserta terbaik pada konsert kedua ini kerana dia menyanyi dengan gaya dan caranya yang tersendiri dan nyanyiannya juga terkawal,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Ramli, agak mengejutkan apabila ada di antara peserta kurang menghayati melodi lagu sehingga mereka terlupa lirik yang ingin dinyanyikan di hadapan penonton.

“Untuk minggu kedua, agak teruk dari segi teknikal nyanyian. Tapi saya tak salahkan mereka, lagu yang dinyanyikan itu tidak setara dengan umur.

“Tapi, itulah cabaran yang mereka kena lalui. Apa yang saya boleh cadangkan ialah hafal melodi dan lirik dari sudut positif dan negatif.

“Menyanyi ikut kemampuan sendiri dan jangan terlalu terikut-ikut dengan cara nyanyian penyanyi asal. Saya faham tenaga mereka, apa-apa pun mereka punyai masa untuk baiki kelemahan untuk bertanding pada konsert akan datang,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ramli berkata tiada istilah kecewa bagi pihaknya walaupun persembahan peserta tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

“Tiada istilah rasa kecewa pada saya, kerana apa yang berlaku itu adalah kesilapan diri sendiri yang boleh diperbaiki.

“Apa-apa pun, segala komen yang saya berikan kepada peserta boleh dijadikan panduan dan saya harap mereka mampu melakukannya,” katanya.

Konsert kedua KE Otai bertemakan ‘Ada Berani?’ menyaksikan Arip, Silah dan Ali berada di tempat ketiga terendah, namun tiada penyingkiran dilakukan pada malam tersebut.

Minggu ini, konsert ketiga KE Otai bertemakan ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ dan mampukah para peserta memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberi juri untuk terus mempamerkan aksi berbisa di pentas Kilauan Emas Otai?

Sama-sama kita saksikan persembahan mereka di minggu ketiga ini.

Kilauan Emas Otai bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras pada setiap Rabu dan boleh ditonton di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135) bermula jam 9 malam.

Untuk melihat video persembahan dan perkembangan lain KE Otai klik di sini Kilauan Emas Otai