Berita mengenai pembatalan perkahwinan penyanyi Awi Rafael dan pelakon Atikah Suhaime telah mengejutkan industri hiburan tempatan sejak awal pagi semalam.

Sebagaimana perancangan Awi untuk bernikah boleh berubah dalam sekelip mata walaupun disaat akhir, begitu juga dengan perancangannya untuk lagu terbarunya yang berjudul ‘Rahasiaku’.

Lagu ini dilancarkan pada hari ulangtahun kelahiran Atikah ke-28 iaitu pada hari Jumaat, 15 Mac 2019.

Lagu ini juga sepatutnya dijadikan lagu istimewa sempena penyatuan kasih mereka, bagaikan sebuah karya yang memberi jawapan kepada semua persoalan di saat ini, Awi berharap lagu ini dapat menjadi pengganti sementara dirinya dalam mencari ruang dan waktu bersama keluarga bagi merawat lukanya.

Bagaikan sebuah surat cinta berlagu, ‘Rahasiaku’ merupakan manifestasi cinta Awi untuk suri hatinya, Atikah, ketulusan cinta Awi dapat didengar dalam segenap hela nafas nyanyiannya.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam lirik lagu ‘Rahasiaku’ ini ‘kerna Tuhan pasti lebih tahu, apa yg lebih baik untuk diriku, dan dirimu’, Awi menyandarkan seluruh kepercayaannya bahawa ajal maut jodoh pertemuan itu itu di tangan Allah SWT dan turut mengharapkan Allah SWT akan memberikannya jalan yang terbaik untuk keluar dari kemelut yang dihadapinya ini.

‘Rahasiaku’ merupakan hasil nukilan Awi sendiri bersama Edi Hamid, malah Awi turut bertindak sebagai penerbit rakaman lagu ini bersama penerbit terkenal Indonesia, Posan Tobing, lagu yang melalui proses penerbitan di Kuala Lumpur dan Jakarta ini bakal dimuatkan dalam album baru Awi berjudul ‘Euphoria’ yang bakal menyusul tidak lama lagi.

‘Rahasiaku’ merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia, ia boleh distrim menerusi saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 15 Mac 2019 dan lagu ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.