Kumpulan Enjen mengakui tekanan yang diterima sejak dua minggu lalu memberi kesan kepada persembahan mereka di minggu kesembilan Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

“Memang diakui sewaktu pertengahan minggu MLM 2016 prestasi kami agak meningkat, tetapi sejak dua minggu lepas persembahan kami tidak berapa baik. Mungkin dari situ kami tewas dari segi kekuatan mental sehingga mempengaruhi keputusan penyingkiran malam ini,” kata Enjen.

Tambah Enjen lagi, akibat daripada tekanan yang diterima mereka sukar untuk mendapatkan idea yang menarik untuk tema ‘Kenangan’.

“Semua kumpulan ada pasang surut dalam persembahan mereka, Enjen pun begitu juga. Kadang-kala kami sendiri tiada idea untuk dibawakan ke atas pentas.

“Mungkin juga ‘luck’ kami tiada pada malam ini dan apa yang Enjen persembahan di minggu kesembilan adalah yang terbaik dan setakat itu sahaja yang kami termampu,” luah Enjen.

Kumpulan Enjen turut mengaku mereka tersingkir adalah disebabkan kurang mendapat undian penonton.

Bagaimanapun menurut Enjen yang dianggotai oleh Raja Azri, Acong dan Yus, mereka menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

“Enjen merupakan kumpulan baru dan tidak mempunyai penyokong yang kuat. Mungkin undian tidak memihak kepada kami sehingga tersingkir terus dari pentas MLM 2016. Apa pun kami redha dengan keputusan malam ini,” ujar Enjen kepada Astro Gempak.

Selain itu, Enjen turut meluahkan rasa kecewa dengan komen yang diberi pihak juri terhadap persembahan mereka di MLM 2016.

“Secara peribadi kami sangat kecewa dengan komen pihak juri pada minggu ke sembilan ini kerana Enjen tidak dapat penjelasan yang sepenuhnya mengapa persembahan kami kurang memuaskan.

“Selepas pihak juri komen mengenai persembahan Enjen, kami bertiga terus merasakan yang kumpulan kami memang akan terus tersingkir,” kata Enjen mengakhiri perbualan.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).


Layari atau klik link http://www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.