Pelakon terkenal Korea, Lee Min Ho akui berasa terharu melihat ribuan peminat yang sanggup meredah hujan semata-mata untuk bertemu dengannya.

Menurut Min Ho, dia berterima kasih di atas sokongan yang diberikan kepadanya dan menyifatkan peminatnya di Malaysia sangat peramah.

“Selamat datang, apa khabar Malaysia? Gembira dapat bertemu kembali. Walaupun hujan, anda tetap hadir untuk bertemu dan memberikan sokongan kepada saya.

“Saya amat berbesar hati dan terima kasih. Peminat di Malaysia sangat mesra dan sebab itu saya suka berkunjung ke sini,”katanya.

Lee Min Ho yang dikenali menerusi drama berjudul ‘Boys Over Flowers’ itu membuat kemunculan istimewa pada majlis perasmian restoran francais KyoChon terbesar di Malaysia yang terletak di pusat membeli-belah di Pavillion, Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.



Dalam pada itu, Min Ho juga menyatakan hasrat untuk melancaong ke Malaysia dan melawat tempat-tempat menarik di negara ini.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang cantik dan saya janji akan kembali lagi ke sini untuk melancong,” ujarnya.

Mengulas mengenai restoran tersebut, Min Ho dedahkan salah satu makanan kegemarannya adalah ayam goreng berperisa madu.

“Saya memang ge,arkan ayam goreng dan itu merupakan salah satu sebab mengapa saya bersetuju untuk menjadi duta KyoChon.

“Salah satu perisa kegemaran saya ialah ayam madu dan anda semua cuba perisa tersebut,” katanya tersenyum.

Sebelum beredar, Lee Min Ho sempat meluahkan rasa cintanya dengan menyebut “saya cinta padamu’ yang kemudiannya disambut dengan jeritan oleh para peminatnya.

Terdahulu, ini merupakan kunjungan kali keenam aktor itu ke Malaysia dan kali terakhir adalah pada April tahun lalu ketika diperkenalkan sebagai duta sebuah portal membeli-belah atas talian.