Penerbit filem, G. Ravindran akui berbaloi melaburkan kos perbelanjaan sebanyak RM2.7 juta apabila dapat menyatukan bekas pasangan kekasih Awie dan Erra dalam filem terbarunya Warna Cinta Impian.

“Filem ini istimewa kerana ianya mempertemukan Awie dan Erra setelah sekian lama mereka tidak digandingkan bersama. Melihatkan cabaran yang semua krew produksi tempuhi semasa menyiapkan filem ini, saya rasakan perbelanjaan RM2.7 juta berbaloi.

“Mereka sangat komited dalam menjalankan penggambaran di Malaysia, India dan Australia. Selepas melihat hasilnya, saya rasa gembira dan berharap filem ini mendapat sambutan peminat filem tempatan,” katanya kepada Astro Gempak.

Bakal ditayangkan pada akhir bulan ini, filem tersebut menampilkan lakonan Shiqin Kamal, Erwin Dawson, Erra Fazira, Awie dan ramai lagi.

Dalam pada itu, pengarah filem Warna Cinta Impian, N.S Krishna menafikan filem arahannya meniru konsep filem Bollywood Dilwale lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol.

“Saya akui yang filem Warna Cinta Impian mempunyai sentuhan dan suntikan elemen Bollywood. Namun begitu, idea pembikinan filem ini telah terlebih dulu datang pada April 2014. Pada bulan Ogos 2014, filem ini telah menjalani penggambaran.

“Filem Dilwale pula muncul selepas itu. Ia ditayangkan pada Disember 2015 dan mendapat perhatian meluas peminat dunia filem antarabangsa. Namun begitu, proses suntingan dan pos produksi filem Warna Cinta Impian mengambil masa yang agak lama dan kini ia siap untuk ditayangkan,” katanya.

Jangan lupa saksikan filem Warna Cinta Impian lakonan Shiqin Kamal, Erwin Dawson, Azlee Khairi, Nazeera Sardi, Erra Fazira dan Awie yang bakal menerjah pawagam pada 31 Mac 2016 ini.