Pelakon Raja Ilya kini sedang belajar vokal dan cara menyanyi dengan komposer terkenal, Azmeer untuk mempersiapkan dirinya dalam menyertai program terbaru terbitan Astro, Gempak Superstar.

“Apabila tawaran untuk menyertai Gempak Superstar datang, ketika itu saya sedang berada di set penggambaran filem Soulmate yang menggandingkan saya dengan Erra Fazira dan Taufik Batisah. Azmeer juga ada di sana kerana dia bertindak menyiapkan skor muzik bagi filem Soulmate.

“Sebelum menerima tawaran tersebut, saya bertanyakan pendapat Erra dan Azmeer. Mereka menyokong saya untuk menyertai program ini. Saya juga gembira dan bangga apabila Azmeer mahu mendidik saya dari segi vokal,” kata Ilya kepada Astro Gempak.

Mengakui dirinya mempunyai minat untuk menyanyi, Ilya telah menolak semua tawaran lakonan yang datang sepanjang durasi program Gempak Superstar untuk memberikan sepenuh komitmen .

“Saya memang minat menyanyi tetapi tidak mempunyai keyakinan diri. Namun begitu, saya mencabar diri saya untuk melakukan sesuatu yang baru. Saya juga sudah bersedia untuk memberikan fokus sepenuhnya untuk program ini.

“Buat masa ini, saya mengosongkan jadual lakonan saya sepanjang Gempak Superstar berlangsung. Saya juga sudah mempunyai perancangan mengenai persembahan apa yang bakal saya lakukan setiap minggu. Saya mahu berlatih dan memberikan yang terbaik kepada penonton di luar sana,” katanya lagi.

Selain Ilya, antara pelakon lain yang menyertai rancangan ini ialah Siti Elizad, Sherry Ibrahim, Ryzal Jaafar, Nazim Othman, Arja Lee dan ramai lagi.

Dihoskan oleh Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad, program Gempak Superstar bakal bersiaran pada jam 9.00 malam, setiap Ahad, bermula 10 April 2016 di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal