Chief Lawak program Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Johan menegur persembahan kumpulan Bora yang membosankan pada minggu kesembilan.

Menerusi tweet Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, dia mahu Bora yang dianggotai oleh Isa, Yan dan Mamat memperbaiki persembahan mereka.

“Bora malam ini boring, tinggal dari kumpulan lain. Work hard, minggu sembilan dah. Bawak benda baru please. Korang masih muda. Idea bagi fresh,” tulis Johan di akaun Twitternya.

Tweet tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut Johan di Twitter yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan dan tegurannya .

Selain itu, Johan turut meluahkan rasa kecewa apabila kumpulan Enjen diumumkan sebagai kumpulan yang tersingkir selepas berada di tangga tercorot untuk minggu kesembilan.

“Aduh sedih pulak bila Enjen keluar. Tapi nak buat macam mana, adat pertandingan. Yang masih ada kena buat sesuatu!,” kata Johan.

Sementara itu, Johan memberi pujian kepada kumpulan Joras yang dianggotai oleh Syuk, Rahim dan Joey yang tampil dengan persembahan yang cukup kreatif.

“Joras idea bagus, kreatif, penuh penceritaan, penyampaian yang bagus, kelakar macam haram jadah! Aku suka! Harap ‘Men of The Match’ ialah Syuk,” ujar Johan lagi.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).