Wajah penyanyi Elizabeth Tan mula menghiasi kaca televisyen sejak awal Februari lalu menerusi drama bersiri Senafas Rindu yang sedang ditayangkan di slot Megadrama Astro Ria.

Kini penyanyi yang dikenali dengan nama Lizzy ini menceburi bidang lakonan ini muncul pula di layar perak menerusi filem seram thriller, Misteri Dilaila.

Lebih menarik lagi, apabila lagu nyanyian Lizzy, Hidup Semula turut diangkat menjadi runut bunyi filem Misteri Dilaila dan dilancarkan serentak pada tarikh tayangan filem terbabit bermula 21 Februari lalu.

Setelah muncul dengan lagu berentak R&B menerusi single Police Entry dan Semua Sudah pada tahun lalu, kali ini lagu berentak balada pula menjadi taruhan penyanyi ini.
Hidup Semula merupakan hasil nukilan komposer tersohor Audi Mok bersama Shazee Ishak yang bertindak sebagai penulis lirik.

Bertepatan dengan genre yang dibawakan oleh filem Misteri Dilaila, runut bunyi filem ini turut disuntik elemen seram. Sebagaimana lazimnya piano digunakan dalam runut bunyi filem seram, Audi Mok turut mengambil konsep yang sama apabila petikan piano diberikan fokus dalam susunan muzik Hidup Semula.

Penggunaan bunyi ketukan xilofon dan kesan khas bunyi herot-benyot menambahkan lagi keseraman lagu ini. Apatah lagi jika dihayati, bait-bait lirik yang dilantunkan Lizzy ini sebenarnya bercerita tentang kesempatan kedua untuk memperbaiki kesilapan jika diberi peluang untuk bangkit dari kematian dan hidup semula.

Penghayatan berbeza Lizzy dalam nyanyiannya turut menambah jiwa kepada lagu ini menjadikan Hidup Semula sebuah lagu yang berhantu dan mampu menimbulkan rasa seram dan hiba kepada pendengar.


Misteri Dilaila merupakan sebuah filem terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw. Filem arahan pengarah muda Syafiq Yusof ini menampilkan Lizzy sendiri sebagai salah satu daripada teraju utamanya. Filem yang turut dibintangi pelakon tersohor tanahair seperti Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Datuk Rosyam Noor dan Namron ini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Februari 2019.

Hidup Semula diterbitkan oleh Warner Music Malaysia dan boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.