Berita baik buat peminat setia filem komedi seram Hantu Kak Limah!

Filem pecah panggung 2018 itu sudah boleh ditonton di rangkaian televisyen internet terkemuka dunia, Netflix.

Khabar itu diumumkan sendiri oleh Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai menerusi akaun Twitternya hari ini.

"Hantu Kak Limah is on Netflix. So sesiapa yang tak dapat catch it before or are overseas just search and ye shall find!" tulisnya.



Berita gembira itu mendapat respon memberangsangkan daripada peminat filem sekuel itu terutama yang menetap di luar negara.

"I’ve been watching HKL 2 on Nextflix memang terbaik! Maklumlah bila kita stay negara luar so nasib tayang di Netflix, memang lawak dan santai, lawak yang tak dibuat.

"Idea @mamatkhalid (org kg teman ni haha)memang terbaik, idea yang gempak! Cuma dalam pada yang sama sedih banyak yang dah tak ada,"
tulis salah seorang pelayar Twitter, Amir Azrul.

Filem yang mencapai kutipan lebih RM32.5 juta itu mengisahkan misteri kematian Kak Limah selepas mengahwini seorang lelaki muda bernama Khuda.

Pelbagai insiden menyeramkan dan melucukan berlaku selepas itu, dan Kampung Pisang kembali kecoh dengan kemunculan hantu Kak Limah.

Hantu Kak Limah membariskan pelakon hebat seperti Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Allahyarham Rab Khalid, Mus May, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.