Selepas foto individu seiras Allahyarham pelawak Yusry Edoo atau Pak Yus menjadi viral, Tauke yang merupakan ahli kumpulan Jambu mencari jalan untuk menghubungi lelaki tersebut.

Menerusi akaun Instagram miliknya, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria bertanyakan sekiranya ada individu yang boleh berkongsi nombor telefon lelaki tersebut.

“Salam, kepada sesiapa yang mengenali pemuda ini boleh DM (Direct Message) saya nombor telefon dia tak?,” tulis Tauke menerusi kapsyen di Instagramnya.

Beberapa komen yang ditinggalkan pengikut Tauke mengakui mengenali lelaki tersebut yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Difahamkan wanita yang berada di sisi lelaki tersebut merupakan isterinya dan dikenali dengan nama Siti Sharifah.

Minggu lalu, akaun Instagram (IG) stesen radio THR Gegar muat naik foto Wajah seorang lelaki seiras Allahyarham Pak Yus.

Rata-rata pengguna media sosial bersetuju lelaki tersebut mempunyai wajah saling tidak tumpah seperti Allahyarham Pak Yus dan telah mencetus kerinduan netizen terhadap anak kelahiran Perlis itu.

Pak Yus yang juga salah seorang ahli kumpulan Jambu meninggal dunia pada 30 November 2015 akibat sesak nafas.

Selepas pemergian Pak Yus, Tauke kembali mewarnai pentas program Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) dengan menubuhkan kumpulan baru dikenali dengan nama LOL yang turut dianggotai oleh Angah Raja Lawak dan Ajak Shiro.

Mungkinkah Tauke telah berjaya menjejaki lelaki tersebut dan akan membuat kemunculan istimewa di program Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016)?

Jangan lupa untuk menonton minggu kesebelas MLM 2016 yang bertemakan Loghat dan Parodi.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.