Pelakon Sasqia Dahuri masih belum terfikir untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

Sasqia atau nama sebenarnya Nurlisasqia Ahmad Dahuri, 34, bernikah dengan usahawan dari Singapura, Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan, 28, pada 15 Disember tahun lalu.

"Buat masa sekarang, kami menjalinkan 'long distance relationship' (LDR). Saya berada di Kuala Lumpur manakala suami pula di Singapura.

"Jika saya tidak sibuk, saya akan terbang ke Singapura dan begitu juga dengan suami, dia akan ke Kuala Lumpur sekiranya tidak sibuk.

"Buat masa ini, kami selesa untuk memberikan fokus terhadap kerjaya terlebih dahulu. Saya mahu meneroka pelbagai watak dalam bidang lakonan dan suami juga sibuk dengan kerjayanya.

"Lagipun, kami sedang LDR, jika mempunyai anak, pastinya keadaan agak sukar. Insya-Allah, bila tiba masa yang sesuai, kami akan berusaha ke arah itu,"katanya ketika ditemui di malam gala filem Misteri Dilaila di e@Curve, Damansara baru-baru ini.

BACA: "Saya Penat Travel" - Sasqia Dahuri Kongsi Pengalaman Lepas Kahwin

Bergandingan dengan ramai pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor, Namron dan ramai lagi, Sasqia menyifatkan dirinya amat bertuah kerana dapat berlakon dalam naskah arahan Syafiq Yusof ini.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Syafiq dan pelakon-pelakon hebat lain.

"Saya berharap agar filem ini dapat diterima ramai dan mendapat kutipan pecah panggung kerana jalan cerita yang ditampilkan sangat menarik," katanya.

Misteri Dilaila mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini (21 Februari 2019)!