Pelakon Kamal Adli senang bekerjasama dengan aktres jelita, Uqasha Senrose.

Kamal dan Uqasha kini bergandingan dalam drama bersiri arahan Michael Ang, Setelah Terlafaznya Akad sebagai teraju utama.

"Uqasha seorang yang sangat profesional dan bagus. Saya pernah bekerja dengan Uqasha tetapi ini merupakan kali pertama kami bergandingan sebagai hero dan heroin.

"Saya gembira bekerja dengan Uqasha kerana dia seorang yang komited. Mungkin sebelum ini saya pernah dengar perkara yang kurang enak mengenai Uqasha yang melibatkan kerja, tetapi semuanya terbukti salah kerana dia sangat fokus dan rajin," kata Kamal.

Tambah Kamal, penggambaran drama bersiri terbabit masih berjalan dan dia juga bergandingan dengan kakak kepada Nelydia Senrose itu dalam sebuah telefilem.

"Selain drama bersiri ini, saya juga berlakon dengan Uqasha dalam telefilem Boyfriend Aku Dari.... yang merupakan versi lelaki kepada telefilem Girlfriend Aku Dari Neraka.

"Saya membawakan watak seorang teman lelaki berpewatakan 'nerd' dan sering menjengkelkan teman wanitanya," kata Kamal lagi.

Setelah Terlafaznya Akad bakal menghiasi slot Megadrama dan akan bersiaran selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.