Aktor kacak Saharul Ridzwan berpendapat bahawa semua pelakon harus mempromosikan drama lakonan mereka di laman sosial masing-masing.

Bertemu di majlis tayangan episod akhir drama bersiri Selafaz Cinta di Wangsa Maju pada Isnin, Saharul diminta mengulas mengenai sikap sesetengah pelakon yang kurang mempromosikan karya lakonan mereka.

"Saya sendiri kurang pasti apa yang sedang berlaku, tetapi secara peribadi, saya berpendapat yang pelakon harus menjalankan tanggungjawab mereka.

"Kalau nak diikutkan seperti yang termaktub dalam kontrak, pelakon harus giat mempromosikan drama lakonan mereka.

"Perkara ini tak payah disuruh pun, kena buat juga kerana pelakon ibarat pekerja kepada syarikat produksi.

"Syarikat produksi bertindak sebagai majikan yang membayar gaji pekerja. Menjadi pelakon, semua harus bersedia untuk sesi promosi dan tugasnya bukan semata-mata untuk menjayakan watak sahaja," kata Saharul.

Mengulas mengenai drama bersiri Selafaz Cinta, Saharul menerima pelbagai respon peminat apabila dia membawakan watak lelaki yang bersikap gila talak.

"Saya akui watak saya sebagai Reza terjadi di dunia nyata. Saya dapat banyak respon dan ada juga yang marah dengan Reza.

"Sejujurnya, saya senang bekerja dengan produksi ini kerana semuanya dipermudahkan. Penggambaran pun berakhir dengan sangat pantas.

"Bayangkan, drama 60 episod ini dijangka menjalani penggambaran selama enam bulan, tetapi kami berjaya menghabiskan semuanya dalam masa tiga bulan lebih sahaja," katanya lagi.