Bekas peserta program Pencetus Ummah (PU), Riz Ismail kembali menyambung pengajiannya dalam sarjana muda undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali menghadiri kuliah selepas hampir dua tahun menceburkan diri dalam bidang hiburan, Riz mengikut nasihat ibunya.

"Sejujurnya, saya sudah selesa bekerja dan meraih pendapatan sendiri dalam bidang seni.

"Namun begitu, ibu meluahkan hasrat agar saya kembali belajar dan menghabiskan ijazah sarjana muda.

"Saya percaya, nasihat dan permintaan ibu pasti ada hikmah. Saya menangguhkan dahulu kerjaya saya dalam bidang seni dan menumpukan dulu fokus terhadap bidang pelajaran.

"Sebelum ini, saya mengikuti nasihat ibu menyertai program PU dan saya berjaya menempatkan diri dalam bidang seni dan berjaya menimba pengalaman.

"Jadi, apa salahnya jika saya ikutkan kata ibu kali kedua dan mencapai segulung ijazah untuk menunaikan hasratnya," kata Riz.

Riz ditemui di majlis tayangan akhir drama bersiri Selafaz Cinta di Wangsa Maju pada Isnin.

Tambah Riz, dia tidak keberatan untuk berlakon sekiranya pengarah dan pihak produksi dapat mengikut jadualnya.

"Setakat ini, saya tiada kelas pada petang Khamis sehingga hari Ahad. Jika ada produksi yang boleh mengikuti jadual terbabit, saya tidak keberatan dan memberikan komitmen.

"Saya banyak menimba pengalaman dalam bidang seni dan Insya-Allah, jika diberikan kesempatan, saya akan membahagikan masa dengan sebaik mungkin," katanya lagi.