Berita baik buat penonton filem Indonesia! Filem thriller seram Misteri Dilaila dijangka bakal menembusi pasaran negara jiran tidak lama lagi.

Baca: Baru Tengok Di Sebalik Tabir, Peminat Rayu Misteri Dilaila Ditayangkan Di Indonesia

Janji penerbit filem Misteri Dilaila, Datuk Yusof Haslam, filem yang membabitkan usahasama Skop Production dan Astro Shaw itu bakal ditayangkan di 100 buah pawagam di Indonesia.

"Insya-Allah selepas tiga minggu ditayangkan di Malaysia, filem Misteri Dilaila akan ditayangkan pula di Indonesia.

"Saya telah berbincang dengan pihak pawagam di sana dan mereka bersetuju untuk menayangkan filem ini di 100 buah pawagam di seluruh Indonesia.

"Walaupun terdapat 400 buah pawagam di sana, 100 buah pawagam yang akan menayangkan Misteri Dilaila pun sudah luar biasa," katanya.

Ini bukan filem pertama terbitan Skop Production yang berjaya tembusi pasaran Indonesia.

Munafik 2 antara filem pecah panggung terbitan Skop Production yang mendapat sambutan luar biasa di Indonesia tahun lalu.

Misteri Dilaila akan mula ditayangkan di 131 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 21 Februari ini.

Filem Ini dibarisi pelakon seperti Zul Arrifin , Rosyam Nor, Namron, Elizebeth Tan, Sasqia Dahuri dan Mas Khan.

Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.

Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang.

Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.

Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya.

Jangan lupa saksikan filem hebat ini yang mendapat sentuhan sutradara terkenal, Syafiq Yusof di pawagam seluruh negara bermula 21 Februari 2019!