Pereka fesyen terkenal tempatan, Ezuwan Ismail kini bergelar penyanyi setelah melancarkan single pertama dari kumpulan trio yang dianggotainya iaitu E1.

E1 yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran itu telah melancarkan single pertama mereka yang berjudul Semalam Sahaja.

Menurut Ezuwan, dia bersedia menerima kritikan dan pendapat dari semua pihak termasuklah artis dan pereka fesyen yang lain.

"Saya sudah bersedia untuk menerima pendapat serta kritikan dari semua pihak mengenai kedatangan saya ke dalam industri hiburan tempatan.

"Saya sangat suka menyanyi sejak dahulu lagi, Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana impian bergelar penyanyi sudah tercapai dengan tertubuhnya kumpulan E1.

"Kami semua telah mengikuti latihan di kelas vokal sebagai persediaan dan sudah tentu kami akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki cara nyanyian kami untuk lagu-lagu yang seterusnya nanti," ujar Ezuwan.

Dalam pada itu, Ezuwan turut berharap agar single pertamanya itu mendapat sambutan yang baik dan menerima sokongan positif dari pencinta muzik tanah air.

"Saya harap lagu pertama dari kami ini mendapat sambutan yang baik, semoga pencinta muzik tempatan memberi sokongan positif kepada kumpulan E1," katanya mengakhiri perbualan.

Ezuwan berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single Semalam Sahaja bertempat di butik jenamanya di Kuala Lumpur petang semalam.

Video muzik rasmi Semalam Sahaja sudah berada di YouTube bermula petang semalam.